Harimau Malaya buru kemenangan, Garuda mahu tebus maruah

Cheng Hoe (kanan) bergambar bersama jurulatih sementara skuad Indonesia Yeyen Tumena selepas sidang media menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Cheng Hoe (kanan) bergambar bersama jurulatih sementara skuad Indonesia Yeyen Tumena selepas sidang media menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
A
A
A

Pertembungan dua musuh tradisi, Malaysia dan Indonesia pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok, dijangka menampilkan satu lagi perlawanan epik dalam usaha kedua-dua pasukan merealisasi misi masing-masing.

Di kala skuad Harimau Malaya terus bernafsu meneruskan rekod cemerlang di laman sendiri bagi mencerahkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, skuad Garuda pula hadir ke Kuala Lumpur dengan misi menebus maruah mereka yang tercalar susulan empat kekalahan berturut-turut yang dialami dalam kempen kelayakan kali ini.

Sebagai rekod, Malaysia membenam pasukan ranking ke-116 dunia, Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, 9 November lalu, sebelum meleburkan rekod tanpa kalah juara lima kali Piala AFF Suzuki, Thailand, menerusi kemenangan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian.

Nasib Indonesia pula boleh diibaratkan bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ susulan empat kekalahan iaitu, tewas 2-3 kepada Malaysia, diaibkan 0-3 dan 0-5 kepada Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta kecundang 1-3 kepada pendahulu Kumpulan G, Vietnam di Hanoi pada 15 November lalu.

Bagaimanapun, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak memandang mudah saingan sengit Indonesia yang kini dilatih pengendali sementara Yeyen Tumena, susulan pemecatan jurulatih kelahiran Scotland, Simon McMenemy oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini.

Jurulatih berusia 51 tahun itu berpandangan, skuad Garuda semestinya mahu menamatkan badi kekalahan dalam kempen kelayakan pada kali ini, termasuk membalas dendam kekalahan 2-3 kepada skuad kebangsaan pada aksi pembukaan pusingan kelayakan di Jakarta pada 5 September lalu.

"Perlawanan malam esok berbeza daripada perlawanan terdahulu, kerana Indonesia membawa beberapa pemain baharu, selain pengendali baharu, dan melihat kepada kehadiran awal mereka ke Malaysia, ia membuktikan mereka serius untuk perlawanan ini,” jelasnya pada sidang akhbar pra perlawanan hari ini.

Rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan jelas memihak kepada Indonesia yang mencatatkan 39 kemenangan, berbanding Malaysia yang melakar 36 kemenangan manakala 21 lagi baki perlawanan berkesudahan seri.

Artikel Berkaitan:

Jika diukur dari segi konsistensi, kelebihan jelas berpihak kepada skuad Harimau Malaya yang mencatat keputusan positif dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini, sekali gus memberi bayangan skuad kebangsaan jelas berkobar-kobar memburu satu lagi kemenangan, apatah lagi beraksi di laman sendiri.

Kebanjiran penyokong di venue perlawanan malam esok, semestinya menjadi tonik tambahan kepada skuad negara, namun Indonesia sudah biasa dengan kehadiran penyokong yang ramai di venue perlawanan, terutamanya dalam saingan domestik negara republik berkenaan.

Kehadiran kira-kira 80,000 penyokong skuad Harimau Malaya pada perlawanan malam esok, memberi isyarat jelas bahawa mereka sanggup mengeluarkan wang saku sendiri, bagi memastikan skuad kebangsaan dapat meraih satu lagi keputusan positif di laman sendiri.

Kenyataan tersebut selari dengan kata-kata yang pernah diungkapkan lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang pernah berkata “setiap pasukan perlu mempamerkan persembahan terbaik, jika mahu menarik penonton datang ke stadium. Ia mesti berbaloi dengan harga tiket yang dibayar. Jika bermain seperti sampah, tiada siapa mahu menonton, walaupun percuma!".

Malaysia kini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan kutipan enam mata manakala Indonesia gagal meraih sebarang mata selepas empat perlawanan.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadualkan berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020 sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan. - Bernama