Caj penggunaan ruang udara akan dikaji semula: Anthony Loke

Anthony Loke (kanan) ketika sidang media berkenaan penyenaraian CAAM kepada pengawal selia kategori dua oleh FAA Amerika Syarikat di Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Persiaran Perdana, Presint 3 hari ini. -Foto Bernama
Anthony Loke (kanan) ketika sidang media berkenaan penyenaraian CAAM kepada pengawal selia kategori dua oleh FAA Amerika Syarikat di Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Persiaran Perdana, Presint 3 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu mengkaji semula semua caj dan fi semasanya termasuk caj penggunaan ruang udara bagi meningkatkan pendapatannya dan bebas dari segi kewangan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, caj penggunaan ruang udara semasa adalah rendah dan tidak dikaji semula sejak 2006.

"Satu daripada sumber pendapatan utama bagi mana-mana pihak berkuasa penerbangan di dunia ini ialah caj penggunaan ruang udara.

“Syarikat penerbangan yang menggunakan ruang udara kita perlu membayar caj penerbangan navigasi udara. Jadi kita melihat ini sebagai sumber pendapatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah satu daripada saranan langkah pemulihan berikutan tindakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menurunkan penyenaraian CAAM kepada Kategori 2 minggu lepas.

“Semakan semula caj penggunaan ruang udara berpotensi meningkatkan pendapatan CAAM akan membantu kita menangani isu yang dibangkitkan oleh FAA, memandangkan isu yang dibangkitkan mereka termasuk kita tidak membayar pegawai pemeriksa secukupnya,” katanya.

Anthony Loke berkata, CAAM kini beroperasi dengan peruntukkan belanjawan sebanyak RM350 juta dan pendapatan kira-kira RM120 juta setahun.

Beliau berkata, CAAM perlu meningkatkan pendapatannya memandangkan FAA mendapati pakej imbuhan Malaysia tidak cukup menarik untuk menarik dan mengekalkan pekerja penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini disebabkan CAAM bergantung kepada dana kerajaan yang bermakna skim bayaran adalah sama dengan skala gaji penjawat awam.

"Walaupun CAAM telah dikorporatkan tahun lepas namun ia tidak bebas dari segi kewangan," katanya.

Anthony Loke berkata, kerajaan perlu memberikan notis kepada syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa berkaitan mengenai kenaikan caj pengendalian penerbangan udara tidak lama lagi.

Maklumat lanjut mengenai peningkatan kos dan caj akan dimaklumkan pada sidang media yang akan diadakan bulan depan. - Bernama