Saya pun jadi sasaran scammer, kata Ketua Polis Ipoh

A Asmadi menunjukkan rekod perbualan panggilan palsu yang diterima hari ini.
A Asmadi menunjukkan rekod perbualan panggilan palsu yang diterima hari ini.
A
A
A

IPOH - Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mendedahkan bahawa beliau turut menjadi sasaran sindiket scammer atau penipuan.

Menurutnya, satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang diterima hari ini meminta beliau mendedahkan butiran diri termasuk nombor kad pengenalan kononnya bagi semakan rekod saman trafik di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Menyedari ia panggilan palsu, beliau kemudiannya melayan panggilan berkenaan selama hampir 5 minit untuk mengetahui sendiri taktik digunakan dalam memperdayakan mangsa.

"Ini kali pertama saya terima panggilan sebegini dan sememangnya saya nantikan kerana ingin tahu bagaimana mereka memperdaya mangsa.

"Apabila saya perkenalkan diri sebagai ketua polis daerah, barulah individu itu 'mengalah', sempat juga dia gelarkan saya bodoh," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan panggilan itu terbukti bahawa mereka yang terlibat dalam kegiatan berkenaan sangat licik melakukan penyamaran.

"Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Pegawai Tadbir dari Bahagian Unit Semakan Saman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, tetapi bila semakan lanjut dibuat, panggilan itu direkodkan dibuat dari Sabah," katanya.

Sehubungan itu A Asmadi mengingatkan orang ramai lebih berwaspada kerana sindiket terbabit tidak memilih mangsa sama ada orang awam mahupun polis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan rekod Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dari Januari hingga Oktober tahun lalu sebanyak 122 kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes berkenaan sementara 62 bagi tempoh sama tahun ini.

"Walaupun ada penurunan, tetapi dari segi aduan dan laporan diterima berkaitan kes ini sentiasa berjalan menunjukkan masih ramai yang terjebak dan tertipu," katanya.