Melaka bentang belanjawan lebihan

Adly
Adly
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka membentangkan Belanjawan 2020 melibatkan peruntukan RM390 juta dengan lebihan RM220,000 daripada hasil keseluruhan RM390.22 juta, mencatat belanjawan lebihan ke-16 berturut-turut.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah peruntukan bagi perbelanjaan mengurus itu menunjukkan peningkatan 2.03 peratus berbanding tahun ini sebanyak RM382.23 juta, namun peningkatan itu adalah minimum setelah mengambil kira langkah penjimatan dan komitmen sedia ada.

"Daripada anggaran perbelanjaan tersebut, RM9.17 juta adalah untuk maksud tanggungan dan RM380.83 juta untuk maksud bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan belanjawan negeri bertemakan 'Memakmurkan Rumah Kita di Bawah Payung Rahmatan Lil Alamin' pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Katanya, perbelanjaan mengurus RM390 juta itu adalah terdiri daripada perbelanjaan untuk dasar sedia ada berjumlah RM378.42 juta, dasar baharu sejumlah RM3.32 juta dan 'one-off’ sebanyak RM8.26 juta.

Adly berkata, di bawah perbelanjaan pembangunan RM70 juta diperuntukkan berbanding RM65 juta tahun lepas yang melibatkan RM48.74 juta daripada sumber hasil negeri dan RM21.26 juta pemberian Geran Tahap oleh kerajaan Persekutuan.

Katanya, RM380.83 juta bagi maksud bekalan melibatkan RM168.24 juta perkhidmatan dan bekalan atau 44.18 peratus peruntukan; emolumen (RM107.96 juta/28.35 peratus); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM99.65 juta/26.17 peratus); aset (RM4.39 juta/1.15 peratus); dan selebihnya perbelanjaan lain.

"Anggaran hasil negeri Melaka dijangka meningkat kepada RM390.22 juta tahun depan berbanding RM384.29 juta pada tahun ini iaitu peningkatan 1.54 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Hasil cukai dijangka sebanyak RM154.65 juta daripada kutipan cukai tanah dan kenaan-kenaan yang berkaitan dengannya. Hasil bukan cukai dianggarkan berjumlah RM181.55 juta daripada faedah dan dividen pelaburan, bayaran lesen dan permit, premium tanah serta bayaran perkhidmatan dan sewaan," katanya.

Adly berkata, terimaan bukan hasil pula RM54.02 juta iaitu daripada pemberian kerajaan Persekutuan dan bayaran balik pinjaman oleh agensi-agensi kerajaan negeri. - Bernama