Rindu yang tak pernah habis, luah adik mangsa dihempap treler

Gambar kecil: Allahyarham Lukman
Gambar kecil: Allahyarham Lukman
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang adik menyifatkan ingatan terhadap abangnya yang 'pergi' selepas terlibat kemalangan di Alor Gajah malam tadi sebagai rindu yang tidak pernah habis.

Muhammad Lukman Haqim Mosyazid, 19, maut bersama sorang lagi rakan sebayanya, Ahmad Daniel Ruzwan dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat sini.

Husnafifa memuat naik status ddi Twitter dan meluahkan rasa rindunya kepada Muhammad Lukman Haqim apabila disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki dihempap treler yang memasuki laluan bertentangan

"Rindu yang takkan pernah habis," demikian luahan sedih Husnafifa.

Bagaimanapun, sebaik mengetahui Muhammad Lukman pergi selama-lamanya, Husnafifa menzahirkan rasa sayu tatkala melihat jenazah abangnya tiba di Hospital Alor Gajah Melaka.

"Aku tak boleh nak terima takdir Man. Tahu salah tapi benda ni berat sangat. Aku hilang kau, nanti bangun pagi tak ada dah bau perfume kau yang kuat tu, tak ada dah nak kena gosok baju biru jururawat kau tu, tak ada dah kena bebel sebab risau naik 'grab' jauh," katanya yang meruntun jiwa netizen.

Paparan Twitter Husnafifa tular di laman sosial.
Paparan Twitter Husnafifa tular di laman sosial.

Walaupun tiada lagi tempat untuk bermanja, Husnafifa berjanji akan terus kuat untuk mengharungi kehidupan tanpa Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

"Semua suruh aku kuat, aku cuba, kalau kau ada, mesti kau tak nak tengok kami semua sedih kan?" katanya bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan.

Menerusi status Twitter, ramai rakannya termasuk rakan Allahyarham terus mendoakan supaya keluarga Husnafifa terus kuat mengharungi dugaan yang pastinya sukar diterima.

Kata @Khairul, "Kehilangan orang yang tersayang tidak mudah. Salam takziah kepada anda sekeluarga dan semoga roh arwah dicucuri rahmat. Be strong okay," katanya.

"Takziah Husna dan sekeluarga, kuatlah demi abang kau. Segala yang meliputi langit dan bumi semuanya pinjaman ALLAH, teruskan perjalanan perkukuhkan amalan kerana kita juga bakal menyusul mereka. Kuatlah, ini sebahagian ujian tuhan untuk hambaNya yang dia cinta," kata @fariszat.

Husnafifa sebelum itu meluahkan rasa hiba sebaik mendapat tahu abangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan mohon doa daripada netizen di Twitter supaya abangnya terus kuat.

Husnafifa turut memuat naik teks dihantar di WhatsApp kepada abangnya bagi memberi semangat kepada Muhammad Lukman Haqim melawan segala kesakitan ketika itu.

"Kawan-kawan kau semua sayang kau, apatah lagi keluarga kau Man. Kau nyawa dalam keluarga kita ni. Kalau kau pergi, separuh nyawa aku pun pergi bang. Kau kena 'fight' tau. Sikit lagi je kami sampai. Tunggu aku Man.

"Kawan kolej pun dah sampai," katanya.

Paparan Twitter Husnafifa tular di laman sosial.
Paparan Twitter Husnafifa tular di laman sosial.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua rakan karib penuntut sebuah kolej kejururawatan maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan kira-kira jam 7.45 malam.

Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajal dua sahabat dihempap treler