Hutang awam kerajaan Melaka turun RM3.6 juta

Nik Azman - Foto Malay Mail
Nik Azman - Foto Malay Mail
A
A
A

MELAKA - Jumlah hutang awam kerajaan Melaka pada tahun lepas menurun RM3.6 juta atau 0.4 peratus kepada RM839.69 juta, berbanding RM843.29 juta pada 2017.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, menerusi kenyataan tentang Laporan Ketua Audit Negara, pengauditan terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Melaka 2018 mendapati tunggakan bayaran balik hutang awam meningkat RM56.69 juta kepada RM516.67 juta tahun lepas berbanding RM459.95 juta pada 2017.

“Kedudukan kewangan kerajaan negeri stabil berikutan Akaun Hasil Disatukan pada 2018 menunjukkan defisit RM13.86 juta berbanding defisit RM22.81 juta pada 2017. Defisit semasa ini berpunca daripada perbelanjaan mengurus RM380.86 juta melebihi hasil kerajaan negeri berjumlah RM367 juta.

“Baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir tahun 2018 menunjukkan peningkatan defisit kepada RM91.38 juta berbanding RM77.52 juta pada akhir tahun 2017," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 November lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

Nik Azman berkata, laporan itu turut menyebut kutipan hasil meningkat sebanyak RM31.67 juta atau 9.4 peratus tahun lepas kepada RM367 juta berbanding RM335.33 juta pada 2017.

Beliau berkata, laporan itu juga menunjukkan secara keseluruhan baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2018 mencatatkan penurunan RM29.39 juta atau 29.6 peratus kepada RM69.86 juta pada tahun lepas berbanding RM99.25 juta pada 2017.

“Pengauditan yang dijalankan mendapati Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka telah diberi Pendapat Tanpa Teguran kerana menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri selain rekod perakaunan diselenggara dengan teratur dan kemas kini.

Artikel Berkaitan:

“Analisis audit berdasarkan kepada Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan, Penyata Akaun Memorandum dan Nota Kepada Penyata Kewangan,” katanya. - Bernama