Rakyat mahu perkhidmatan lebih baik daripada kerajaan

Azmizam Zaman Huri dan Laporan Sinar Harian Sabtu lalu.
Azmizam Zaman Huri dan Laporan Sinar Harian Sabtu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu isyarat jelas daripada rakyat yang mahukan perkhidmatan lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, selain itu, ia juga turut menjadi peringatan dan kesedaran kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk lebih serius dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Pihaknya mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditambah baik walaupun PH memegang pemerintahan negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Berdasarkan komitmen kerajaan pada masa kini bermula dengan Belanjawan 2020 lalu, banyak faedah yang cuba disampaikan kepada rakyat walaupun kita berdepan kekangan kewangan di peringkat Persekutuan.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berusaha untuk memastikan rakyat berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Majlis Tautan Kasih Bandar Parklands DUN Pelabuhan Klang di sini semalam.

Sabtu lalu, calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang bergaya dengan memperoleh sebanyak 25,466 undi, jauh mengatasi pencabarnya terdekatnya, Karmaine Sardini yang hanya mendapat sebanyak 10,380 undi.

Mengulas lanjut, Azmizam berkata, PRK Tanjung Piai juga menyaksikan perkembangan tidak sihat apabila isu perkauman dan agama sering dijadikan modal politik sepanjang tempoh kempen berlangsung yang dilihat mampu mencetuskan ketegangan antara satu sama lain.

"Saya berharap kempen pilihan raya selepas ini dapat dipantau dengan lebih tegas bagi memastikan tiada pihak yang cuba memainkan sentimen berkenaan bagi meraih undi rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Di Tanjung Piai, isu perkauman dimainkan dengan begitu kuat dan ia pastinya memberikan gambaran tidak baik kepada generasi akan datang," katanya.