UAE minat bekerjasama dengan Malaysia

Maszlee - Foto fail
Maszlee - Foto fail
A
A
A

PARIS - Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat untuk bekerjasama dengan universiti di Malaysia dalam bidang penyelidikan dan pendidikan serta program pertukaran pensyarah dan pelajar.

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang menyambut baik cadangan Menteri Kebudayaan dan Pembangunan Pengetahuan Noura Mohammed Al Kaabi itu berkata, beliau bersedia membantu menghubungkan mana-mana universiti di Malaysia yang berminat dalam usaha mengukuhkan kerjasama institusi pengajian tinggi di kedua-dua negara.

Noura yang juga Presiden Zayed University juga sedang meneliti bidang lain yang sesuai serta kerjasama strategik termasuk menghantar lepasan ijazah daripada UAE belajar di universiti terkemuka di Malaysia, katanya.

Maszlee berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di luar sesi ke-40 Persidangan Am Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, Malaysia sedang melihat kepada agenda yang lebih besar dan memfokuskan kepada negara ASEAN, berhubung pendirian negara terhadap pendidikan yang inklusif, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari.

Beliau berkata, Malaysia juga akan terus menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk belajar di negara itu yang mempunyai pelbagai budaya, selain destinasi pengajian menarik yang menawarkan kos sara hidup yang rendah serta yuran pengajian berpatutan. - Bernama

Artikel Berkaitan: