Kerajaan sedia pertimbang tambah cawangan NIOSH di Perak

Kula Segaran (tengah) pada Program Safety and Health Talk di Hotel Kinta Riverfront hari ini.
Kula Segaran (tengah) pada Program Safety and Health Talk di Hotel Kinta Riverfront hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Sumber Manusia sedia menimbang cadangan untuk mewujudkan sebuah lagi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Perak.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, ia susulan permohonan daripada pihak industri dan sektor awam agar diwujudkan sebuah lagi institusi selari dengan perkembangan sektor industri di negeri ini.

"Pada masa sekarang, Perak mempunyai satu cawangan NIOSH di Manjung yang dibuka pada 2017 lalu dan nampaknya kita menerima sambutan amat menggalakkan di sana.

"Jadi, kementerian akan lihat adakah cadangan baharu ini boleh dilaksanakan agar perkhidmatan lebih baik dapat diberikan kepada sektor swasta dan awam,” katanya kepada pemberita selepas Program Safety and Health Talk di Hotel Kinta Riverfront hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, Ipoh dicadangkan sebagai lokasi baharu untuk pejabat wilayah NIOSH berkenaan bagi membolehkan lebih ramai pihak dapat peluang menyertai program latihan diadakan.

Katanya, bukan sekadar berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan semata-mata, institut itu juga menyediakan latihan kecekapan dan peningkatan kemahiran kepada pekerja-pekerja.

"Kerana itu kita cadangkan ia dimulakan di Ipoh, lebih memudahkan pekerja-pekerja tanpa perlu mereka pergi ke Sitiawan (Manjung)," katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menambah, kerajaan sudah pun mengagihkan RM30 juta bagi membantu golongan B40 menerusi program latihan di bawah kementeriannya.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, seramai 100 orang pelatih daripada golongan B40 telah mengikuti bidang keselamatan dan pekerjaan kesihatan di seluruh negara," katanya.