Tiga lelaki ditahan edar 1.7kg syabu bernilai RM75,000

Abdullah (dua,kanan) bersama barisan pegawai Narkotik menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada tiga serbuan itu.
Abdullah (dua,kanan) bersama barisan pegawai Narkotik menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada tiga serbuan itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lelaki ditahan dipercayai mengedar 1.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM75,000 dalam tiga serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Pasir Mas pada Rabu serta Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan pertama dilakukan di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang pada Rabu jam 5.40 petang, Rabu.

Menurutnya, polis memeriksa sebuah kereta jenis Perodua MyVi putih yang dipandu seorang peniaga lelaki berusia 33 tahun.

“Ketika polis mendekati dan memperkenalkan diri pemandunya tiba-tiba mengundurkan kenderaan dan cuba melarikan diri tetapi ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan di dalam kereta menjumpai beg kertas berisi bungkusan jenama teh dan di dalamnya mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 1.018kg bernilai RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Abdullah berkata, serbuan kedua dilakukan pada jam 2.30 petang Khamis lalu di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas.

“Pemeriksaan dalam poket seluar jeans yang dipakai lelaki itu menjumpai kotak rokok berisi paket plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 53.2g bernilai RM7,980.

“Suspek yang juga penganggur itu mempunyai dua rekod lampau berkait dadah dan urin didapati positif metamphetamine,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada serbuan ketiga seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Proton Wira ditahan pada jam 3.30 pagi, Khamis lalu dan polis menemui beg pinggang berisi 108.1g dipercayai syabu bernilai RM16,215.

“Suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta dan merempuh bahagian depan kenderaan polis menyebabkan kereta suspek terbabas ke tepi jalan.

“Pemeriksaan bukan sahaja menemukan dadah malah menjumpai penimbang digital bertulis Amput dipercayai digunakan untuk menyukat dadah. Sebuah motosikal Yamaha Ego bernilai RM5,000 turut disita,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.