X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki menyamar polis dijel tujuh tahun

Dua lelaki menyamar polis dan menyamun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah menyamar sebagai polis dan menyamun, dua rakan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan jenayah itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas kedua-dua tertuduh, Mohd Faizal Abdullah, 41, dan Mohd Fariza Hozairi, 34, didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa mendatangkan kecederaan dan merompak wang tunai sebanyak RM1,300 milik Mohd Anuar Rambli, 32, dalam kejadian pada Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman bernombor 53 Kampung Padang Lebam, Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 4 pagi pada 13 Mac 2019.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang didakwa menyamar sebagai anggota polis bertindak memukul Mohd Anuar sebelum menyamun wang tunai milik mangsa di lokasi terbabit.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara bagi Mohd Faizal bermula tarikh tangkap, manakala hukuman bagi Mohd Fariza pula bermula dari tarikh sabitan kes.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Wan Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Nik Ismail Nik Lah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!