Lari sorok belakang kereta sebelum ditetak

Mangsa yang parah kini dilaporkan stabil.
A
A

NIBONG TEBAL - Seorang remaja lelaki parah selepas diserang empat lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Nibong Tebal Jaya, di sini.

Mangsa yang berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan antaranya patah tangan kanan dan luka di kepala serta di belakang badan dipercayai akibat ditetak dengan parang panjang.

Mangsa yang berasal dari Taman Nibong Tebal Jaya menerima 10 jahitan dan kini dilaporkan stabil di Hospital Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Panchor Nibong Tebal, antara jam 4 hingga 5.30 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa telah menghantar kawannya di Taman Bukit Panchor dan dalam perjalanan untuk pulang ke rumah di Taman Nibong Tebal Jaya.

"Semasa menunggang motosikalnya, mangsa dikejar empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal. Mangsa mendakwa, dia hanya mengenali seorang sahaja daripada empat lelaki tersebut. Mangsa dikejar sehingga belakang deretan rumah kedai di Taman Bukit Panchor sebelum terjatuh dari motosikalnya.

"Dia kemudiannya berlari ke arah kawasan Taman Bukit Panchor dan bersembunyi di belakang sebuah kereta di salah sebuah rumah di situ. Bagaimanapun, salah seorang suspek ternampak mangsa lalu menetaknya beberapa kali di bahagian kepala, tangan dan belakang badan," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, seorang suspek telah ditahan dan polis kini giat mengesan tiga suspek lagi untuk membantu siasatan.

"Kita masih menyiasat punca kejadian kerana mangsa mendakwa, dia tidak tahu punca dia diserang kerana tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," katanya.

Mangsa menerima 10 jahitan akibat ditetak oleh empat lelaki awal pagi semalam.
Mangsa menerima 10 jahitan akibat ditetak oleh empat lelaki awal pagi semalam.