Ibu cam baju celoreng anak lemas

Mangsa ditemui terapung di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja pada jam 11.40 pagi hari ini.
Mangsa ditemui terapung di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja pada jam 11.40 pagi hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu mengecam baju bercorak celoreng dipakai anaknya yang lemas akibat terjatuh di Sungai Kampung Maka Joh, Labok Machang Khamis lalu.

Mayat Zarawi Mohamed, 35, ditemui terapung di Sungai Kelantan berhampiran Tambatan Diraja pada jam 11.40 pagi hari ini.

Ibunya Rohani Mamat, 63, berkata, polis memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki dan diminta ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bagi proses pengecaman.

Katanya, dia dan suami, Mohamed Jaafar, 63, bersama ahli keluarga yang lain bergegas ke hospital bagi menjalankan proses pengecaman anak ketiga daripada enam beradik itu.

“Semasa membuat pengecaman saya nampak baju t berceloreng yang selalu dipakai oleh arwah.

“Saya tidak sanggup melihat wajahnya yang sudah membengkak selepas dua hari dia ditemui sejak dilaporkan lemas di sungai tempoh hari,” katanya hari ni.

Katanya, dia bersyukur doanya ketika menunaikan solat hajat setiap hari dikabulkan ALLAH SWT.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah walaupun tidak menyangka hidupnya berakhir dengan tragedi seperti ini.

Artikel Berkaitan:

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cano, Machang dan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang berusaha mencari anak saya yang hilang sejak beberapa hari lalu serta sangat lega kerana jasadnya sudah ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy mengesahkan penemuan mayat itu.

Katanya, mayat lengkap berpakaian, kembung dan sudah berbau itu ditemui terapung pada jarak 45 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang oleh orang awam yang sedang meronda dengan bot.

“Orang awam kemudian memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di pangkalan marin di tepi Sungai Kelantan dan seterusnya dilaporkan kepada pihak polis.

“Mayat dibawa ke HRPZII untuk bedah siasat sebelum operasi mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APM dan pihak polis yang dimulakan semalam, ditamatkan pada jam 4 petang tadi,” katanya.