Graduan perlu berani pertahan pendirian, kata Tun Daim

Daim (kanan) menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi daripada Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah (kiri) pada Majlis Konvokesyen UMT ke-17 hari ini. -FOTO: BERNAMA
Daim (kanan) menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi daripada Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah (kiri) pada Majlis Konvokesyen UMT ke-17 hari ini. -FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA NERUS - Graduan universiti perlu berani mempertahankan hak dan pendirian yang benar serta terbuka untuk meraikan sebarang perbezaan pendapat, kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Dr Daim Zainuddin.

Katanya, graduan tidak perlu takut menyuarakan pendapat mereka kerana kesannya amat buruk apabila situasi itu akhirnya akan melahirkan generasi yang hanya tahu mengikut arahan sahaja seperti 'lembu dicucuk hidung'.

"Untuk mencapai matlamat itu, universiti bertanggungjawab memupuk budaya debat agar rakyat Malaysia mengenali cara terbaik dalam berhujah menegakkan fakta tepat demi maruah bangsa dan negara,” katanya semasa berucap selepas menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-17 hari ini.

"Ini kerana kita mahukan generasi muda yang berani mempertahankan pendirian mereka, berani pertahan hak golongan tertindas yang tidak mampu bersuara sendiri dan berani bersaing secara sihat dalam mengekalkan kemakmuran negara, bukannya bersaing untuk merosakkan apa yang telah dibina selama ini," tambahnya.

Bekas Menteri Kewangan itu menerima anugerah berkenaan daripada Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berikutan sumbangan besar beliau dalam membangunkan ekonomi negara.

Selain itu bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) keenam, Laksamana (B) Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan.

Seramai 2,902 graduan termasuk 70 penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (145 penerima), Ijazah Sarjana Muda (2,591 penerima) dan Diploma (96 penerima) menerima anugerah masing-masing.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mencemar duli hadir ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata usaha keras semua warga universiti telah membuahkan hasil apabila pelbagai pencapaian diraih sepanjang tahun ini.

Antaranya Anugerah ‘The Best Massive Open Online Course Award’ buat kali ketiga berturut-turut sejak 2016 di International University Carnival on E-Learning, Anugerah Malaysia's Research Star Award dan Pengiktirafan Jurnal Creme oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, serta Anugerah Akademik Negara Ke-13 bagi kategori Anugerah Pengajaran.

Sehingga Oktober tahun ini juga katanya UMT telah menerima 118 geran penyelidikan bernilai RM10.3 juta daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara. - Bernama