Warga emas hilang ditemukan mati

Jenazah Asrah diusung menaiki van jenazah dari Bilik Mayat HTAJ Sabak Bernam ke Masjid Kampung Sungai Tengar di sini.
Jenazah Asrah diusung menaiki van jenazah dari Bilik Mayat HTAJ Sabak Bernam ke Masjid Kampung Sungai Tengar di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Luluh hati seorang anak apabila melihat mayat bapanya yang dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu ditemukan di kebun kelapa sawit di Jalan Kubur Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar di sini hari ini.

Anaknya, Zulkifli Asrah, 54, berkata, sejurus dimaklumkan polis berhubung penemuan bapanya, Asrah Salleh, 85, dia dan keluarga bergegas ke tempat kejadian.

"Saya mengecam muka arwah dan mengesahkan jenazah itu bapa saya yang hilang sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.

Dia sekeluarga termasuk ibunya redha dengan ketentuan tersebut dan turut berterima kasih kepada semua agensi terlibat serta pihak yang berusaha mengesan arwah bapanya sebelum ini

Zulkifli berkata, sebelum penemuan itu, dia bersama keluarga ke Sungai Besar untuk menampal poster berhubung kehilangan Asrah.

"Dengan ini, berakhirlah pencarian kami sekeluarga dan saya sendiri mengakui berasa sedih, namun tetap pasrah dengan ketentuan-Nya," katanya.

Difahamkan, jenazah Asrah dijangka disembahyangkan di Masjid Kampung Sungai Tengar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Air Tawar hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, mayat dipercayai beberapa hari meninggal dunia berdasarkan keadaannya yang mulai mereput dan identiti mangsa dicamkan ahli keluarga berdasarkan motosikal di kawasan berhampiran penemuan mayat.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian tersebut katanya, mayat mangsa hilang itu ditemui seorang penduduk yang ingin ke kebunnya apabila terhidu bau sebelum melihat tubuh manusia terbaring di bawah pokok kelapa sawit kira-kira jam 8.30 pagi.

Beliau berkata, individu tersebut kemudiannya bertemu rakan dan mengambil keputusan ke Balai Polis Sungai Air Tawar memaklumkan kejadian.

"Pemeriksaan luaran tiada kesan kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk urusan bedah siasat," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, Asrah dilaporkan hilang selepas keluar minum dari rumahnya di Jalan Tanah Lesen Sungai Air Tawar di sini, 5 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sudah-10-hari-ayah-hilang