Kandungan Netflix perlu ditapis

Netflix
Netflix
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mengawal isi kandungan program yang disiarkan menerusi platform penstriman, Netflix.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, Finas memandang serius perkara itu kerana Netflix menjadi penyumbang utama hiburan tanpa ditapis dan memberi kesan terhadap masa depan generasi akan datang.

“Walaupun penapisannya bukan di bawah bidang kuasa Finas tetapi kita serius mengenai hal ini kerana kandungannya boleh memberi kesan negatif jika tidak dipantau.

“Kita mengambil pendekatan untuk mengawal kandungan filem dan rancangan televisyen tempatan tetapi di peringkat antarabangsa masih lagi terbuka,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua, NCWO, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Ahmad Idham berkata, beliau pernah menyuarakan kebimbangannya tetapi tiada sebarang tindakan susulan mengenainya.

Sehubungan itu katanya, akan bekerjasama dengan NCWO untuk menganjurkan seminar dan kempen bagi memberi kesedaran mengenai perkara itu dengan membabitkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad Idham berkata, Finas juga akan melihat isi kandungan program televisyen dan filem keluaran tempatan supaya menerapkan lebih banyak nilai murni dan kekeluargaan.

Artikel Berkaitan:

Seminar Keluarga Sejahtera dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).