Protes ganas di Bolivia ragut lima nyawa

Penyokong Evo Morales mengadakan protes di La Paz.
Penyokong Evo Morales mengadakan protes di La Paz.
A
A
A

SUCRE - Sekurang-kurangnya lima penyokong bekas Presiden Bolivia, Evo Morales terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan berhampiran bandar Cochabamba semalam.

Pertempuran di Sacaba tercetus selepas penyokong Morales mengabaikan arahan bersurai, memaksa polis melepaskan tembakan ke arah perusuh yang bertindak ganas.

Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan 'Perang saudara sekarang' ketika protes ganas semakin memuncak di negara Amerika Selatan itu.

Jurucakap hospital tempatan, Guadalberto Lara berkata, pihaknya turut merawat puluhan mangsa kebanyakannya cedera akibat luka tembakan.

Menurut Lara, ia adalah keganasan terburuk sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Sacaba.

Protes di Bolivia tercetus selepas Morales dituduh melakukan penipuan besar-besaran semasa Pilihan Raya Presiden bulan lalu.

Susulan tekanan berterusan, Morales yang juga presiden pribumi pertama negara itu mengambil keputusan meletak jawatan dan mendapatkan suaka di Mexico.

Tunjuk perasaan bertukar ganas apabila penyokong Morales menuduh pembangkang berniat menggulingkan pemimpin berusia 60 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Jeanini Anez yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara dan disokong Amerika Syarikat, turut berikrar akan membawa Morales ke muka pengadilan jika menjejakkan semula kaki ke Bolivia. - Agensi