Kelantan cadang bina kolam renang

Aktiviti berbasikal juga diantara sukan yang tersenarai dalam BSN kali ini.
Aktiviti berbasikal juga diantara sukan yang tersenarai dalam BSN kali ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bercadang untuk membina kolam renang di negeri ini bagi menambah lagi fasiliti sukan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk dibawa ke peringkat kementerian.

"Kita bercadang bina dua kolam renang iaitu untuk lelaki dan perempuan. Fasiliti ini amat penting untuk sukan negeri dan sukan renang adalah sukan yang bagus.

"Cuma yang menjadi masalah apabila kita tidak menghormati etika dan aturan berpakaian dan sebagainya.

"Insya-ALLAH kalau dapat dibina nanti, kita boleh jadi contoh kepada negeri lain terutamanya dari segi pakaian itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu Wan Roslan merasmikan Sambutan Bulan Sukan Negara (BSN) Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Mohamed Imran Mansoor.

Wan Roslan berkata, lokasi masih belum ditetapkan dan ia bukanlah satu isu memandangkan Kelantan mempunyai banyak kawasan strategik untuk pembinaan kolam renang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam masa yang sama juga, ia merupakan salah satu persiapan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di negeri ini.

Wan Roslan (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang.
Wan Roslan (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang.

Sementara itu, Mohamed Imran berkata, MSN menyokong penuh hasrat kerajaan negeri itu memandangkan renang merupakan salah satu sukan yang popular di negara ini.

"Kita menyokong penuh hasrat kerajaan negeri untuk bina kolam renang tersebut dan saya yakin ia akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain terutamanya dalam etika pemakaian dan sebagainya.

"Kita bersukan bukan hanya untuk kesihatan semata-mata namun faedah keberkatan itu yang kita mahukan," katanya.

Dalam pada itu, BSN kali ini berjaya mengumpul lebih 6,000 penyertaan dan kerajaan negeri mensasarkan 249,000 penyertaan sebulan.

BSN Kelantan ditunda sebelum ini bagi memberi penghormatan kepada tempoh perkabungan di atas kemangkatan ayahanda Sultan Muhammad V iaitu Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.