Anak positif ganja: Mat Sabu serah kepada polis

Mat Sabu
Mat Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung penahanan anaknya di pusat hiburan, tengah malam tadi.

Menurut Mohamad atau mesra disapa Mat Sabu, beliau telah dimaklumkan penahanan anaknya, Ahmad Saiful Islam.

"Susulan itu, saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

"Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis telah menahan anak menteri terbabit berusia 31 tahun itu dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Operasi di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini, dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dalam serbuan berkenaan, seramai 101 individu telah diperiksa membabitkan 55 wanita dan 46 lelaki.

Menurut sumber, dalam pemeriksaan itu, dua lelaki berusia 33 dan 31 tahun telah ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kedua-dua lelaki terbabit bagaimanapun dibebaskan lewat petang tadi dengan ikat jamin polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.