BAT Malaysia berhak ambil tindakan undang-undang

Boon Chye ditemuramah media selepas merasmjkan Sidang Kemuncak Kesihatan Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia di Connexion Event Centre, Nexus di sini hari ini.
A
A

BANGSAR - British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) berhak mengambil tindakan undang-undang susulan pembatalan kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas produk DUNHILL HTL-cigarillo.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kementerian telah mengenal pasti permasalahan berkaitan rokok haram yang giat ditangani Jabatan Kastam.

"Itu hak dia (BAT Malaysia) untuk ambil tindakan undang-undang, hak dia.

"Tapi saya nak pujilah, ini di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam yang mengambil tindakan serius dan kita lihat, hampir setiap hari ada rampasan rokok haram.

"Kita beri sedikit masa kepada Jabatan Kastam untuk tangani rokok haram ini," katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia di sini hari ini.

BAT Malaysia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan permohonan semakan kehakiman menerusi anak syarikatnya, Commercial Marketers and Distributors Sdn Bhd (CMD) itu juga bagi menyemak keputusan KKM yang mengkategorikan DUNHILL HTL-cigarillo sebagai produk rokok.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel mendakwa, keputusan KKM dibuat secara sebelah pihak apabila menarik semula kelulusan tanpa rundingan.

"Produk ini diluluskan sebagai ‘produk bukan rokok’ bukan sahaja oleh KKM setahun lalu untuk dijual tetapi ia juga diluluskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Keputusan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) KKM membatalkan kelulusan ke atas DUNHILL HTL-Cigarillo tanpa sebarang notis dilihat sebagai satu pusingan ‘U’," katanya.

BAT Malaysia turut menyelar serbuan terhadap 100 peruncit di Sabah dan Sarawak yang dilakukan beberapa minggu sebelum surat pembatalan produk itu dikeluarkan.