PATI masuk dalam ladang sawit elak dicekup

Anggota Jabatan Imigresen Terengganu melakukan pemeriksaan ke atas pekerja warga asing di lokasi serbuan. - Foto: Jabatan Imigresen Terengganu
A
A

HULU TERENGGANU - Sekumpulan pekerja warga Indonesia sanggup gadai nyawa menyeberangi lalu lintas sibuk di jalan utama malah ada yang lari lintang-pukang ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran untuk bersembunyi. Itu antara tindakan berani pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelakkan ditangkap ketika diserbu Jabatan Imigresen Terengganu di sebuah ladang ternakan ayam di Telemong di sini kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, semasa serbuan pihaknya mendapati kumpulan pekerja warga asing sedang sibuk bekerja.

"Sejurus menyedari kehadiran kami, mereka lari lintang-pukang sehingga ada yang langsung tidak fikirkan keselamatan diri dengan meredah lalu lintas di jalan utama selain lari masuk ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran.

"Kami berjaya menahan enam daripada mereka dan hasil pemeriksaan mendapati dua daripadanya termasuk seorang wanita masing-masing berusia 52 dan 27 tahun ditahan kerana dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebahagian warga asing yang ditahan. - Foto: Jabatan Imigresen Terengganu
Sebahagian warga asing yang ditahan. - Foto: Jabatan Imigresen Terengganu

Menurut Ahmad Salihin, sempena Ops Bersepadu (Ops Hijau/ Sapu/ Mahir), pihaknya turut menyerbu tiga tapak projek pembinaan di sekitar Ajil di sini dan Kuala Terengganu; sebuah kuari; sebuah ladang menternak lembu dan dua kilang di Ajil di sini.

"Dalam serbuan bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 5 petang itu seramai 79 pekerja warga asing diperiksa dan 31 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 53 tahun termasuk 16 lelaki warga Bangladesh; 10 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta tiga lelaki warga Myanmar," katanya.

Jelasnya, mereka yang ditahan dikenalpasti melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

"Pihak kami juga mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada dua majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.