Skandal TH: Rafizi dakwa Abdul Hadi main politik

Perkongsian Rafizi di laman Facebooknya, hari ini.
Perkongsian Rafizi di laman Facebooknya, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa bermain politik dalam isu skandal kewangan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ia susulan ulasan Abdul Hadi mengenai skandal itu yang disifatkan sebagai ada agenda tersirat untuk menjatuhkan imej Islam, di hadapan penyokong Pas dalam kalangan penuntut Malaysia di London, lebih seminggu lalu.

Rafizi berkata, sebagai sebuah parti mempertahankan Islam, Pas sepatutnya paling gusar jika ada penyelewengan dalam TH.

"Sepatutnya beliaulah (Abdul Hadi) yang paling ke depan meneliti setiap langkah TH, supaya institusi itu menjadi tabung kewangan Islam yang paling handal dan disegani di dunia.

"(Namun) beliau terpaksa bermain politik dan mengheret sentimen perkauman (konon ada agenda bukan Islam mahu jadikan TH mangsa) akibat satu strategi politik yang telah gagal menjelang PRU14," katanya dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Rafizi berkata, ketika beliau mendedahkan penyelewengan dan salah laku di TH sejak 2013, pentadbiran BN yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menggunakan Pas untuk 'menyucikan' keadaan di dalam badan berkanun berkenaan.

"Rombongan Pas mengunjungi TH, mendapat taklimat dan seterusnya mengumumkan bahawa 'Pas berpuas hati dengan tadbir urus kewangan TH'.

"Secara tidak langsung, menjadi 'king maker' dalam isu TH dengan menghantar isyarat kononnya saya mereka-reka cerita mengenai TH. Jadi, apabila bukti-bukti mula keluar bahawa apa yang saya bongkar itu betul, Pas terperangkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kini selepas bukti kukuh dikemukakan, Rafizi berkata, Pas terpaksa bermain politik sekali lagi, namun kali ini untuk membina sentimen kebencian terhadap orang bukan Islam dengan menuduh kononnya ia sebahagian daripada agenda menjatuhkan Islam.

"Nasihat dan ingatan saya kepada diri sendiri dan orang ramai: jangan mudah berpuas hati, teliti terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan menyucikan sesuatu.

"Sebabnya, lama-kelamaan bukti akan keluar juga, jika penyelewengan benar-benar berlaku," katanya.