Geng Raju curi beg Hermes RM6 juta tumpas

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis menemui semula 81 beg jenama Hermes bernilai RM6 juta yang disamun Geng Raju di sebuah rumah banglo di Jalan Duta pada 3 Oktober lepas selepas menahan empat lelaki.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua lelaki berusia 24 hingga 47 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dalam operasi berasingan sepanjang bulan lepas.

Katanya, beg itu adalah daripada sejumlah 85 beg jenama sama yang dilapor disamun dari rumah milik ahli perniagaan warga China di Jalan Duta pada 4 petang.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata dua daripada suspek ditahan di Segambut dan Cheras di Kuala Lumpur manakala dua lagi di Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam kejadian samun itu, beliau berkata, seorang daripada suspek bertindak menyamar sebagai penghantar barang sebelum empat lagi individu masuk dan mengikat tukang kebun serta pengawal keselamatan.

“Suspek kemudiannya mengambil barang-barang berharga antaranya 85 beg jenama Hermes, 10 bentuk cincin emas, satu utas rantai berlian dan sebuah Toyota Alphard,” katanya.

Mazlan berkata, seorang daripada yang ditahan itu merupakan pemandu kepada ahli perniagaan berkenaan.

“Suspek bertindak sebagai individu yang memberi maklumat banglo itu mempunyai banyak barang berharga,” katanya.

Beliau berkata, tiga lagi beg Hermes masih hilang dan sebuah lagi beg dikesan telah dijual di negara jiran dengan harga RM15,000.
Artikel Berkaitan:


Katanya, polis sedang mengesan dua lagi lelaki dikenali sebagai S.Kajenthiran, 26, dan K Parameswaran, 24, yang disyaki terlibat dalam kejadian samun itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991 atau Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah di talian 03-21460685. -Bernama