Gading gajah, senjata api dirampas di Gua Musang

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki orang asli ditahan polis selepas pemeriksaan yang dilakukan di rumahnya di Kampung Sugi dekat Pos Pasik, Gua Musang menemui dua gading gajah dan sepucuk senapang patah bersama 31 butir peluru pada Selasa lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lelaki berusia 51 tahun itu adalah penduduk tempatan dan rumahnya diperiksa selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, serbuan dilakukan pada jam 6 petang sempena Ops Bersepadu Khazanah oleh sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersama empat anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA18) dan tiga kakitangan Jabatan Perhutanan negeri.

"Siasatan awal pihak berkuasa mendapati lelaki berkenaan yang mengetahui senapang patah adalah milik bapa mentuanya yang digunakan untuk membunuh musuh tanaman.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan terpaksa ditahan kerana siasatan awal mendapati senjata api bersama peluru tidak didaftarkan oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Terdahulu sebelum itu, Hasanuddin berkata, pada hari yang sama juga, empat lelaki berusia antara 28 hingga 43 tahun yang menaiki sebuah kenderaan empat roda ditahan pihak berkuasa ketika cuba memasuki Pos Pasik, kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit menemui 25 unit jerat ayam dan burung serta satu unit tanduk rusa.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek masih ditahan di IPD (Ibu pejabat Polis Daerah) Gua Musang manakala barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Bernama