14 vendor dinobat Jaguh Nasional, Jaguh Serantau di bawah VIPP

Mohd Redzuan (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran MoU yang ditandatangani antara MED dan Malaysia Airlines Berhad.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 vendor bumiputera dinobatkan sebagai Jaguh Nasional dan Jaguh Serantau di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada Majlis Malam Apresiasi sempena penganjuran Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP) pada 12 hingga 13 November lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam tadi.

Selain trofi dan sijil penghargaan, jaguh-jaguh vendor turut dianugerahkan insentif program pembangunan kapasiti yang berprestij dan berimpak tinggi iaitu Kaizen Japan Study Tour bernilai RM94,000 bagi setiap syarikat diiktiraf sebagai Jaguh Serantau dan RM54,845 bagi setiap Jaguh Nasional.

Mohd Redzuan berkata, kementerian amat komited dan akan berterusan melaksanakan usaha penambahbaikan bagi memastikan usahawan tempatan terutama vendor Bumiputera diperkasakan melalui program pembangunan kapasiti termasuk program berkaitan teknologi, inovasi serta akses pasaran.

“Penganjuran VIPP merupakan manifestasi MED dalam memperluaskan ekosistem PPV MED melalui akses pembiayaan konvensional dan alternatif (angel investor, crowd funding, peer-to-peer), peningkatan produk secara cross-sector serta memperkukuhkan rantaian bekalan menerusi dasar carve out kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dalam perolehan Kerajaan," katanya.

Mohd Redzuan berucap pada Majlis Malam Apresiasi sempena penganjuran VIPP di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Mohd Redzuan berucap pada Majlis Malam Apresiasi sempena penganjuran VIPP di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata demikian pada pada Majlis Malam Apresiasi sempena penganjuran VIPP yang turut dihadiri Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Radzi dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata Berhad, Azlan Zainal Abidin di KLCC di sini malam tadi.

Mohd Redzuan berkata, pengukuhan jalinan kerjasama dan penyertaan usahawan PKS adalah komponen penting di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 serta pemangkin hala tuju sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

Katanya, sebanyak 1,094 syarikat vendor berjaya mencapai nilai perolehan sebanyak RM5.312 bilion untuk 2018.

Menurutnya, penganjuran VIPP selama dua hari menyaksikan 405 syarikat vendor diterima oleh syarikat-syarikat anchor yang terlibat melalui 510 sesi padanan perniagaan.

Beliau berkata, pada masa sama, enam syarikat anchor berpotensi iaitu PLUS Malaysia, Cement Industries - CIMA, UEM Sunrise, UEM Edgenta, Foresight Industries dan Tenggara Nasa dikenal pasti serta akan memuktamadkan proses pelantikan pada hujung tahun ini dengan sasaran 80 syarikat vendor baharu untuk dibangunkan.

Beberapa segmen menarik seperti sesi perkongsian amalan terbaik perniagaan dan aplikasi teknologi serta inovasi berasaskan IR4.0 oleh 21 ikon usahawan dalam dan luar negara serta segmen kewangan yang memberi pencerahan berkenaan pelaburan, akses pembiayaan konvensional dan alternatif telah diadakan.

Program itu turut mempamerkan 16 pavilion oleh syarikat anchor dan potential anchors serta 12 reruai pameran oleh agensi teknikal dan institusi kewangan.

Sepanjang dua hari penganjurannya, VIPP berjaya menarik kehadiran 5,000 pengunjung.

Pada Malam Apresiasi VIP2, MED menjalinkan kerjasama strategik dengan termeterainya acara penyerahan Letter of Intent kepada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi program 'Internationalisation of SME Products' dan Tenggara Nasa Sdn Bhd sebagai anchor baharu PPV serta memorandum persefahaman (MoU) antara MED dan Malaysia Airlines Berhad.