Tun Daim terima Anugerah Ijazah Kehormat UMT

Tun Daim - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin akan menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-17 yang bermula Sabtu ini.

Bekas Menteri Kewangan dan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara itu dijangka akan menerima anugerah berkenaan daripada Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, selain Daim, bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan.

“Anugerah kehormat ini diberikan atas sumbangan besar kedua-dua tokoh ini kepada negara melalui bidang masing-masing.

“Pada majlis konvokesyen yang berlangsung dari 16 hingga 18 November ini, kita ada 12 penerima anugerah iaitu dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja, seorang penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor (2), Anugerah Pengerusi LPU (2) dan Anugerah Naib Canselor (5),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, seramai 2,899 graduan yang terlibat pada konvokesyen kali terdiri daripada 69 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (143), Ijazah Sarjana Muda (2,591) dan 96 graduan diploma.