Orang Asli suku Bateq bakal nikmati kemudahan elektrik

Sumbangan RM17,700 turut merangkumi pembinaan balai sewang dan kemudahan fasiliti lain untuk kegunaan penduduk.
Sumbangan RM17,700 turut merangkumi pembinaan balai sewang dan kemudahan fasiliti lain untuk kegunaan penduduk.
A
A
A

GUA MUSANG - Seramai 198 penduduk Orang Asli suku Bateq Kampung Kuala Koh di sini bakal menikmati kemudahan bekalan elektrik bermula tahun hadapan.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Kelantan, Bahagian Retail TNB, Muhamad Azli Ab Rahim berkata, kerja-kerja akan dimulakan pada awal tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh mendapatkan bekalan elektrik yang selama ini menjadi dambaan penduduk.

"Pembinaan Sistem Bekalan Elektrik Talian Grid berjumlah RM2 juta oleh TNB ini adalah keperluan utama penduduk di sini dalam memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Kita menjangkakan pertengahan tahun hadapan mereka sudah menikmati kemudahan ini. Mereka juga tidak perlu risau dengan caj yang dikenakan kerana TNB menyediakan Rebat Bil Elektrik RM40," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bersama Komuniti Peringkat Negeri Kelantan, di Kampung Kuala Koh hari ini.

Turut hadir Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Gua Musang, Yusrizal Hamid.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Azli menyantuni anak Orang Asli suku Bateq Kampung Kuala Koh dalam Program Bersama Komuniti Peringkat Negeri Kelantan.
Muhamad Azli menyantuni anak Orang Asli suku Bateq Kampung Kuala Koh dalam Program Bersama Komuniti Peringkat Negeri Kelantan.

Dalam pada itu, Azli juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM17,700 merangkumi kos pembinaan balai sewang dan kemudahan fasiliti bagi kegunaan penduduk di kawasan perkampungan berkenaan.

Sementara itu, ketua kampung, Mohamad Pokok berkata, kemudahan elektrik adalah satu keperluan utama yang ditunggu-tunggu penduduk selama ini.

"Pada Jun lalu, insiden kematian 16 penduduk kampung ini amat menyedihkan. Pun begitu keprihatinan kerajaan sedikit sebanyak mengubat kedukaan kami dengan kehilangan dalam tragedi itu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan, TNB dan Jakoa kerana membantu kami begitu juga dengan pihak-pihak lain termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang membekalkan sumber air bawah tanah," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini.

Jumlah itu termasuklah sistem rawatan air berkualiti tinggi bernilai RM800,000 dan RM434,000 untuk menampung pelbagai keperluan termasuk bekalan makanan mengikut syor Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan.