Kanak-kanak 2 tahun retak tulang kaki dilanggar kereta

Rakaman kejadian tular di laman sosial.
Rakaman kejadian tular di laman sosial.
A
A
A

KAJANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun retak tulang kaki kiri setelah dilanggar sebuah kereta di hadapan rumahnya di Jalan Parklands, Taman Semenyih Parklands di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima maklumat daripada bapa mangsa berhubung kemalangan itu pada jam 10.07 malam semalam.

“Dalam kejadian jam 6.28 petang itu, mangsa sedang bermain dengan anak jiran. Mangsa secara tiba-tiba menghala ke jalan di hadapan rumah lalu dilanggar dengan sebuah kereta.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan retak tulang kaki kiri. Mangsa telah dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan dan mangsa dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak dilanggar sebuah kereta di hadapan rumahnya.

Berdasarkan video berdurasi 14 saat itu, kanak-kanak terbabit dilihat keluar dari rumahnya dengan menunggang basikal menuju ke jalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang melalui kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tak tutup pintu pagar, anak kecil digilis depan rumah

Artikel Berkaitan: