Kanak-kanak 7 tahun lemas di taman tema

Mangsa dibawa ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di hospital.
Mangsa dibawa ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia di hospital.
A
A
A

BANTING - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun lemas semasa mandi di sebuah taman tema dekat sini pada Sabtu.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, selepas menerima panggilan kecemasan, anggota petugas telah tiba di lokasi kejadian jam 11.59 pagi.

Katanya, ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian, kanak-kanak tersebut telah dikeluarkan dari kolam oleh orang ramai dan sedang diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa menaiki ambulans.

Jelasnya, mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa dipercayai lemas ketika mandi di dalam kolam sebuah taman tema bersama ahli keluarga.

"Anggaran kedalaman kolam tersebut adalah dua meter," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, semasa pihak bomba menguruskan mangsa, kanak-kanak itu masih tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan telah meninggal dunia di hospital.