Azmin dakwa wujud 'tangan ghaib' batal jemputan rasmi kongres AMK

MOHAMED AZMIN
MOHAMED AZMIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ di belakang keputusan membatalkan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada AMK untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Saya telah terima surat jemputan dan telah menjawab akan hadir tetapi baru-baru ini telah dibatalkan. Saya yakin Ketua AMK tidak berani melakukan sesuatu tanpa ada tangan-tangan ghaib di belakang.

“Ini bukan tentang saya tetapi sebab jawatan presiden dan timbalan presiden,” katanya kepada media selepas berucap pada Siri Forum Menteri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2019 di INTAN, Bukit Kiara hari ini.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan pembatalan jemputan itu yang dianggapnya bagi menghalang beliau daripada bersuara dalam kongres sayap parti itu.

Semalam, Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata, keputusan untuk menjemput Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi Kongres Nasional AMK di Melaka 6 Disember ini dibuat pada mesyuarat pimpinan pusat sayap itu pada 20 Oktober lepas.

Akmal Nasrullah dilapor berkata, hasil mesyuarat itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Biro Politik Pusat yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

Artikel Berkaitan: