X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang Prabakaran letak jawatan satu pengkhianatan kepada rakyat

Prabakaran
A
A

SHAH ALAM - Cadangan 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran meletak jawatan jelas satu pengkhianatan kepada rakyat terutama pengundi di kawasan Batu.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi mengutuk sekeras-kerasnya gesaan itu kerana menurutnya Prabakaran dipilih oleh rakyat di kawasan itu untuk mewakili mereka bagi tempoh 5 tahun.

"Ini membuktikan terdapat kecelaruan politik yang amat keterlaluan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kami menganggap krisis dalaman PKR semakin meruncing dan akan menghapuskan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Bayangkan, baru setahun memerintah kerajaan Pusat pelbagai kecelaruan berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Prabakaran disaran letak jawatan bagi memberikan laluan kepada Tian Chua bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu.

Ia susulan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu memutuskan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah.

ARTIKEL BERKAITAN: Prabakaran disaran letak jawatan

Wakil NGO itu berkata, Prabakaran yang juga calon Bebas menang pada PRU14 dengan hasil bantuan jentera pilihan raya Parti Keadilan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamed Nizham berkata, Pemuda UMNO Wilayah mahu kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menghentikan permainan politik yang dilihat seperti tiada kesudahannya.

"Cukuplah Port Dickson menjadi mangsa kerakusan kuasa. Sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara. PH perlu fokus mengurus tadbir negara yang semakin teruk terutama dalam aspek ekonomi negara.

"Jangan kerana ketamakan kuasa, sanggup mereka perkotak-katikkan amanah rakyat terhadap Ahli Parlimen yang telah dipilih," katanya.

Katanya, jika PRK Parlimen Batu dilakukan ini merupakan satu signal yang jelas bahawa PKR tidak peduli jika suara anak muda 'dibunuh' daripada terus berada di dalam Parlimen.

"Adakah demi kelangsungan politik individu dalam PKR sanggup meminggirkan suara anak muda? Jelas perjuangan reformasi yang dilaungkan oleh PKR nampak retorik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus