33 mangsa banjir kilat dipindahkan di Hulu Terengganu

Penduduk berpindah ke PPS di Masjid Kg Cheting, di sini yang dibuka jam 11.30 malam setelah kediaman dinaiki air malam tadi. (Gambar kecil: Che Adam A Rahman)
Penduduk berpindah ke PPS di Masjid Kg Cheting, di sini yang dibuka jam 11.30 malam setelah kediaman dinaiki air malam tadi. (Gambar kecil: Che Adam A Rahman)
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seramai 33 mangsa daripada tujuh buah keluarga dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Kampung Cheting di sini selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat, malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, hujan lebat di kawasan itu malam tadi menyebabkan berlakunya limpahan air sehingga menjejaskan penduduk di kawasan tanah rendah di situ.

"Hujan lebat berlaku di Hulu Terengganu sehingga jam 11.30 malam tadi. Difahamkan, hujan bukit yang turun dalam tempoh singkat, namun komposisi air yang banyak menyebabkan limpahan air sehingga menjejaskan penduduk yang tinggal di kawasan terbabit.

"Banjir yang berlaku boleh dikategorikan sebagai banjir kilat dan kita telah membuka sebuah pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa banjir ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, keadaan dilihat beransur pulih dan kesemua mangsa banjir mula pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.

"Air yang melimpah kembali surut dan saya difahamkan komuniti terjejas akan pulang ke rumah masing-masing dan pusat pemindahan sementara itu juga akan ditutup," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan keadaan awan tebal, potensi hujan lebih tertumpu di kawasan luar pantai Terengganu.

"Berdasarkan ramalan, buat masa ini, hujan dijangka berlaku, namun tidak begitu lebat," katanya.

Artikel Berkaitan: