Kren tumbang: Waris masih belum terima pampasan

Halimah dan adiknya, Che Wil menunjukkan surat daripada TH yang memohon mereka menamakan seorang pewaris bagi memudahkan urusan pampasan.
Halimah dan adiknya, Che Wil menunjukkan surat daripada TH yang memohon mereka menamakan seorang pewaris bagi memudahkan urusan pampasan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Waris kepada Allahyarham Munah Jusoh, 73, yang maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September 2015 masih belum menerima sebarang berita berhubung bayaran pampasan daripada kerajaan Arab Saudi.

Anak ketiga Allahyarham, Halimah Che Muda, 51, berkata, sekitar April lalu dia dan keluarga ada menerima surat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang memohon mereka menamakan seorang pewaris bagi memudahkan urusan pampasan.

“Kami sepakat memutuskan Che Wil, 45, (adik) untuk menjadi waris.

“Sejak itu sehinggalah kini, tiada sebarang berita berhubung perkara itu (bayaran pampasan) dimaklumkan kepada kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kechik, Cherang Ruku di sini semalam.

Pada 11 September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk kerja-kerja menaik taraf Masjidil Haram tumbang.

Kelmarin media melaporkan kerajaan Arab Saudi mengagihkan bayaran pampasan kepada keluarga 27 jemaah haji India yang terlibat dalam insiden itu.

Halimah berkata, secara jujurnya dia dan keluarga tidak meletakkan harapan tinggi berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, selepas dihubungi pihak TH yang meminta supaya menamakan pewaris ia seolah-olah memberi harapan baharu berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya mendapat pampasan, kami akan menggunakannya untuk kerja-kerja kebajikan untuk arwah ibu terutama bersedekah,” katanya.