Maszlee di Paris bagi Persidangan UNESCO

Maszlee
Maszlee
A
A
A

PARIS - Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Maszlee Malik kini berada di Paris bagi mewakili negara pada Sesi ke-40 Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Persidangan itu yang bermula semalam berlangsung sehingga 27 November ini.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle pada Selasa malam disambut duta Malaysia ke Perancis, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar serta kakitangan kedutaan.

Atur cara menteri pada Rabu di ibu kota Perancis ini termasuk menghadiri Forum Menteri-menteri Pendidikan mengenai 'Kemasukan dan Mobiliti dalam Pendidikan Tinggi'.

Maszlee yang merupakan Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Khamis ini di jadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada persidangan itu yang berlangsung di ibu pejabat UNESCO.

Beliau dijadual menghadiri perbincangan meja bulat mengenai Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP) - Malaysia-UNESCO Fund-in-Trust (MFIT).

Di samping itu, Maszlee dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan dan wakil-wakil dari negara-negara anggota UNESCO yang lain.

Satu perhimpunan dengan pelajar Malaysia di Rumah Malaysia juga telah diatur untuk menteri pendidikan itu semasa lawatan kerja beliau ke Paris.

Artikel Berkaitan:

Malaysia telah menjadi ahli UNESCO sejak tahun 1958. - Bernama