X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] 'Hakim tidak bacul, bangsat'

Dr Faiz (kiri) menyerahkan memorandum kepada pegawai AGC sebentar tadi.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Hakim tidak bacul dan bangsat untuk tunduk kepada mana-mana pihak dalam setiap kes, demikian amaran Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Faiz Na'aman kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam.

Menurutnya, kenyataan Lokman di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Isnin lalu adalah suatu fitnah terhadap institusi kehakiman negara.

"Lokman telah mengeluarkan kenyataan terbuka kononnya hakim yang mengendalikan kes skandal penyelewengan SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak telah dipengaruhi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan Lokman adalah kemuncak daripada kenyataan-kenyataan sebelum ini.

"Ini adalah kemuncak beliau menabur fitnah apabila menyentuh mengenai institusi kehakiman," katanya yang turut mencabar Lokman tampil kemuka bukti.

Dr Faiz berkata, Lokman perlu dikenakan tindakan tegas termasuk di bawah Akta Hasutan 1948.

"Saya fikir patut dikenakan Akta Hasutan kerana ia bukan (perbuatan) pertama kali. Namun saya serah kepada pihak yang berkenaan," katanya kepada Sinar Harian selepas menghantar memorandum kepada Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas di Pejabat Peguam Negara (AGC) sini hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai AGC untuk disampaikan kepada Tommy.

Selain Peguam Negara, Dr Faiz turut menghantar memorandum kepada Pejabat Hakim Negara dan Bukit Aman pada hari ini.

"Saya harap ada tindakan dan susulan daripada mereka," katanya.

Lokman mengeluarkan kenyataan itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan wujud prima facie dalam kes pendakwaan SRC dan mengarahkan Najib yang berdepan dengan tujuh pertuduhan membela diri.

Najib, 66, didakwa dengan tuduhan tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC.

Semalam, Mahathir menafikan wujud campur tangannya dalam kes tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus