Ayah sebak terima hadiah motosikal dari anak

Muhd Faez bersama ayah dan motosikal baharunya. Bapa terkejut menerima motosikal baharu dari anaknya.
Muhd Faez bersama ayah dan motosikal baharunya. Bapa terkejut menerima motosikal baharu dari anaknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Tanyalah kepada mana-mana pasangan ibu bapa, tentu saja semuanya sanggup melakukan apa saja demi cahaya mata tercinta.

Sanggup berkorban nyawa, masa, tenaga dan wang dalam membesarkan anak tersayang, penat lelah ditolak ke tepi asalkan anak dapat membesar dengan sebaiknya.

Ada juga sanggup berlapar asalkan anak cukup makan, cukup pakai, ada pula yang rela menyarung pakaian lusuh demi mengumpul wang membelikan keperluan anak.

Walaupun tidak terbalas segala jasa dan pengorbanan mereka, cubalah sedaya upaya memberikan kebahagiaan.

Ini dilakukan oleh seorang anak dikenali Muhd Faez Razali apabila menghadiahkan ayahnya sebuah motosikal yang mengundang sebak si bapa.

Perkongsian video durasi 2 minit itu membuatkan warganet menangis tatkala menonton rakaman itu diiringi lagu bertajuk titip rindu buat ayah yang dimuat naik di Twitter @muhdfaezrazali.

Menerusi entrinya, sejak bapanya sudah berpencen, dia tidak pernah membeli motosikal baharu malah lebih mengutamakan keperluan anak-anak.

"Ayah aku ni tak pernah nak beli motosikal baharu untuk dia sendiri walau dia dah dapat duit pencen.

Artikel Berkaitan:

"Dia akan dahulukan untuk anak-anak dia, jadi aku ambil keputusan sempena hari lahir dia baru-baru ini, aku nak hadiahkan motosikal baharu untuk dia, bagi kejutan dekat dia dan dia punya reaksi sekali ayat dia tu 'deep' pula," ciapnya yang tular di laman sosial.

Muhd Faez yang juga seorang tukang gunting bergerak 'mobile barber' sempat mengucapkan terima kasih buat warganet yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan keluarganya.

Malah meminta maaf kepada warganet kerana tidak boleh berkongsi kata-kata ayahnya ketika menerima hadiah itu hingga buatkan dia menangis ekoran terlalu peribadi.

Kata @poxjaxx, "Ya ALLAH bro, tahniah semoga apa yang ko buat sekarang diberkati ALLAH, Amin."

"Video macam ni yang patut kita banggakan kasih dan penat lelah seorang ayah diberi hadiah pada hari kelahirannya tahniah sahabat for sharing the good video," ciap @Fadzilamin2

Dalam pada itu, ada juga menzahirkan rasa sebak apabila melihat perkongsian video itu sehingga kini meraih lebih 129,800 tontonan.

Kata @lizakhair,"Touching sungguh tengak video ni... semoga adik ni dimurahkan rezeki,tak rugi berbuat baik pada ayah ibu."

"Sebak pula aku hampir nak menitis air mata sebab aku tak sempat nk buat 'surprise' macam ni kat arwah abah... Sesiapa yang masih ada kedua orang tua tu hargailah mereka selagi mereka hidup, masih terdaya boleh gelak tawa dan menangis bersama kita. Mereka tak minta apa-apa cuma mahu anak mereka bahagia," ciap @hang_padu.