Kerinduan ulama Palestin terhadap Masjid Al-Aqsa terubat di Terengganu

Pengarah dan Ketua Imam Masjid Al- Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah Al-Kiswani (kanan) bersama Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Palestin Sheikh Atta Muhammad Faiz Atta Al Muhtaseb bergambar di hadapan replika kubah As-Sakhrah atau kubah batu Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis di Taman Tamadun Islam hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerinduan Sheikh Atta Muhammad Faiz Atta Al-Muhtasib terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang telah 20 tahun tidak dijejakinya terubat selepas beliau melawat replika masjid itu di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Imam dan Khatib Masjid Nabi Ibrahim di Hebron, Palestin itu turut mengalirkan air mata dan berkata, walaupun jarak rumahnya dengan Masjid Al-Aqsa hanyalah 35 kilometer, namun beliau dikenakan sekatan oleh pihak Israel daripada memasuki masjid ketiga suci orang Islam itu sejak 20 tahun lepas.

“Tiada satu kalimah pun yang dapat mengungkap perasaan terharu saya kerana di bumi (Palestin) sendiri saya tidak dapat menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa tetapi di sini, saya dapat melihatnya walaupun hanyalah replika,” katanya ketika melawat replika Kubah As-Sakhrah yang terdapat di dalam replika masjid tersebut.

Beliau berkata demikian dalam bahasa Arab yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.

Bagaimanapun, beliau yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Palestin itu tidak akan berputus asa dan bercita-cita untuk menjejakkan kakinya ke Masjid Al-Aqsa satu hari nanti.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah al-Kiswani yang turut menyertai lawatan itu berasa kagum dan terkejut kerana replika masjid tersebut dibina serupa dengan Masjid Al-Aqsa yang sebenar.

“Ia merupakan satu kejutan buat saya. Mini kubah, ukiran dan seni bina yang dibuat memang hampir sama dengan Masjid Al-Aqsa. Ia melambangkan rakyat Malaysia begitu prihatin dengan isu berkaitan Palestin.

“Ia juga menggambarkan betapa cintanya rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin kerana binaan replika ini sangat terperinci sehingga kelihatan hampir 100 peratus sama dengan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Sambil merakam penghargaan kepada Malaysia kerana membina tempat seumpama itu, beliau juga menyeru umat Islam di negara ini supaya mengunjungi Masjid Al-Aqsa demi menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap masjid itu. - Bernama