Macau Scam: Pengurus tadika terpedaya

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengurus sebuah tadika swasta di sini mengalami kerugian hampir RM7,900 dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam, semalam.

Mangsa yang berumur 28 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memberitahu mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat takut mangsa telah ikut arahan sekali gus menyerahkan maklumat akaun bank.

”Terkejut dan terlalu takut menerima maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus memberikan maklumat akaun dan kata laluan miliknya sebelum dapati wang dalam akaunnya telah tiada.

"Mangsa telah memberi maklumat akaun kerana diminta berbuat demikian selepas diberitahu tujuan adalah untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, menyedari dirinya ditipu mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

"Yakin dirinya sudah terperangkap sindiket penipuan dan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Polis menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket," katanya.

Jelasnya, masyarakat diingatkan agar tidak mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:


"Sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

"Orang ramai diingatkan agar tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.