Israel-Gaza berbalas serangan

Rumah Ata yang musnah akibat dibedil rejim Zionis awal pagi tadi.
Rumah Ata yang musnah akibat dibedil rejim Zionis awal pagi tadi.
A
A
A

GENTING GAZA - Tindakan tentera Israel melancarkan serangan yang meragut nyawa komander kumpulan Jihad Islam di wilayah Gaza hari ini telah mencetuskan tindak balas roket dibedil ke Tel Aviv yang dikhuatiri akan mencetuskan semula peperangan di wilayah terbabit.

Di Damsyik, media tempatan di Syria melaporkan rejim Zionis turut menyasarkan kediaman seorang lagi anggota Jihad Islam, Akram al-Ajouri yang menyebabkan anak lelaki dan cucu perempuannya terbunuh.

Tidak lama selepas itu, sayap tentera Jihad Islam mengumumkan kematian komander mereka sejurus Israel mengesahkan operasi bersama perkhidmatan keselamatan domestik, Shin Bet itu menyasarkan Baha Abu al-Ata, 42.

Gerakan itu memaklumkan isteri Ata turut terkorban dalam serangan tersebut.

Rumah Ata di daerah Shejayia di timur bandar Gaza dilaporkan musnah teruk dalam serangan itu.

Israel menuduh Ata bertanggungjawab dalam serangan roket baru-baru ini dan turut mendakwanya merancang serangan susulan ke atas Tel Aviv.

Keganasan terbaharu di wilayah Gaza itu menyebabkan serangan balas dilancarkan dari Genting Gaza ke Israel hingga menyebabkan bunyi siren berkumandang di beberapa bahagian negara itu.

Beberapa penduduk turut berlindung di kubu kalis bom selepas kira-kira 50 roket dibedil ke Israel dan 20 daripadanya didakwa berjaya dipintas sistem pertahanan rejim.

Artikel Berkaitan:

Konflik terbaharu itu juga menyebabkan sekolah di wilayah Gaza dan beberapa bahagian di Israel termasuk Tel Aviv ditutup. - AFP