'Itu bossmu, bukan bossku'- Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Itu bossmu, bukan bossku.” Demikian jawapan sinis Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkaitan kes melibatkan bekas perdana menteri.

Hishammuddin pagi tadi menegaskan Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan tepat dan berani selepas memutuskan untuk membuat kenyataan bersumpah di mahkamah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut Mohamed Azmin, bukanlah perkara biasa untuk bekas Naib Presiden UMNO itu menyokong bekas presidennya.

“Itu pandangan seorang ahli kepada presidennya, biarlah.

“Itu bukan presiden saya, itu bossmu, bukan bossku,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Najib diperintah untuk membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Gombak itu menyangkal dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa wujudnya campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes Ahli Parlimen Pekan itu.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpegang kepada konsep 'rule of law' dan pihak eksekutif tidak pernah mencampuri urusan atau persidangan dalam mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Kita harus menghormati keputusan mahkamah dan sesiapa yang dipanggil membela diri, mereka masih mempunyai ruang untuk membela diri dan ini adalah proses yang harus dilalui semua pihak,” katanya.

Bahkan beliau menegaskan pernah melalui proses sama selama puluhan tahun.

“Saya melalui proses yang sama puluhan tahun tapi biarlah mahkamah tentukan orang itu bersalah atau tidak, bukan pencacai seperti yang disebut itu yang cuba menghukum perdana menteri.

“Perdana menteri berpegang kepada prinsip 'rule of law', kita tak mencampuri urusan mahkamah. Sebab itu kalau mahkamah nak tangguh sidang, lewatkan sidang atas macam-macam alasan dibuat tertuduh, itu terpulang ke mahkamah.

“Kita tak pernah mencampuri urusan itu,” katanya.