Suspek curi beg kena tahan

Keratan laporan Sinar Harian semalam.
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki yang tular di Facebook selepas kegiatannya mencuri beg silang dalam raga sebuah motosikal dirakam kemera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai runcit di Ladang Air Manis kelmarin berjaya diberkas polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis yang membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Tebuk Pulai pada jam 2 petang semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek mengaku mengambil beg silang milik mangsa ketika berada di tempat kejadian.

"Hasil serbuan itu polis turut merampas beberapa barangan curi dan dokumen penting yang dicuri suspek," katanya kepada Sinar Harian.

Chee Khoon berkata, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis MOP dan mempunyai empat rekod jenayah narkotik.

"Sehingga kini suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, seorang peniaga berputih mata apabila beg silang yang mengandungi wang tunai RM600 yang ditinggalkan di dalam raga motosikalnya dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Ladang Air Manis.

Kejadian jam 9.25 pagi itu tular di laman sosial Facebook menerusi rakaman CCTV berdurasi dua minit enam saat.

ARTIKEL BERKAITAN Beg dalam raga motosikal lesap