23 lelaki bergaduh kerana seorang wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seramai 23 lelaki ditahan polis kerana disyaki merusuh di hadapan sebuah kedai makan di Persiaran Waterfront di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 1.30 pagi melibatkan dua kumpulan terdiri daripada suspek berusia 17 hingga 26 tahun.

"Dua suspek yang ditahan merupakan remaja berusia 17 tahun tetapi mereka tidak bersekolah. Bagaimanapun, salah seorang suspek merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Hasil soal siasat mendapati punca kejadian adalah kerana perselisihan faham akibat cemburu membabitkan seorang teman wanita kepada salah seorang suspek," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pangkat 43 Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak yang disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Razarudi Husain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini.

Menurutnya, hasil ujian urin mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek akan direman empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mengetahui kejadian itu diminta menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan serta mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.

Artikel Berkaitan: