Kena ambil penyerang naturalisasi!

No Image Caption
A
A
A

TIADA siapa yang dapat menyangkal peningkatan prestasi dan corak permainan Harimau Malaya ketika ini.

Taktikal yang direncana pengendali, Tan Cheng Hoe yang mengambil alih tugasan daripada Nelo Vingada pada 2017 berjaya memberikan idea lebih segar dalam corak permainan pasukan kebangsaan.

Malah, kehadiran tiga pemain kacukan iaitu Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong dan Brendan Gan serta seorang tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh menyuntik kekuatan dan memberikan nilai tambah buat Harimau Malaya.

Di sebalik peningkatan prestasi itu, skuad negara turut tidak terlepas daripada cemuhan penyokong setia bola sepak Malaysia yang menilai bahagian jentera serangan skuad negara tumpul dan tidak berkesan.

Seorang penyokong setia Harimau Malaya pernah meluahkan kepada penulis bahawa jika pasukan negara mempunyai seorang penyerang tulen, kita sudah mampu menguasai bola sepak Asia Tenggara.

Malah, dia yang sudah mengikuti perkembangan bola sepak sejak tahun 1980 mengakui keupayaan skuad negara hampir mencapai tahap beberapa pasukan di Asia selepas melihat persembahan positif ketika menang ke atas Tajikistan 1-0 Sabtu lalu.

Menilai dua kekalahan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika kita tewas tipis 0-1 kepada Vietnam yang menampakkan jentera serangan tidak dapat menjelmakan ancaman dengan tiada percubaan tepat dihalakan ke gawang pasukan di ranking ke-97 dunia itu.

Ketika menentang UAE, deretan peluang dimiliki Harimau Malaya gagal disempurnakan dengan baik sekali gus membuktikan pemain penyerang kita kurang berdaya saing dan implikasinya kita gagal untuk meraih enam mata penting daripada dua perlawanan itu.

Artikel Berkaitan:

Pendek kata, pasukan kebangsaan sememangnya tidak memiliki penyerang tulen yang mampu mengalas tugas menghadirkan ancaman untuk merobek gawang terutama apabila berdepan lawan yang kuat.

Bagaimanapun, bagi penulis untuk memastikan Harimau Malaya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi, seorang penyerang tulen perlu ada supaya dapat memainkan peranan cukup signifikan mencari gol dalam setiap perlawanan.

Pengganti

Mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Cheng Hoe tidak mempunyai pilihan lain selain membariskan penyerang berusia 33 tahun, Norshahrul Idlan Talaha sebagai antara tonggak utama di bahagian depan pasukan.

Kelibat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang semakin meningkat naik, Syafiq Ahmad pula dilihat tidak mampu memberikan impak jika diletakkan sebagai penyerang tunggal dengan mengambil kira persembahannya pada perlawanan menentang Tajikistan Sabtu lalu.

Hakikat yang perlu ditelan ialah kita masih belum menemui pengganti penyerang yang dirindui Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari selepas 28 tahun legenda bola sepak Malaysia itu meninggalkan kita.

Mungkin kita boleh mengharapkan kepada bintang muda sensasi Luqman Hakim Shamsudin yang ketika ini berusia 17 tahun.

Bagi penulis, kemantapan permainan yang ditunjukkan Luqman Hakim ketika ini tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras kerana cabaran yang lebih besar dan waktu tepat menilai prestasi pemain itu adalah ketika menyarung jersi skuad senior dalam beberapa tahun akan datang.

Persoalan bagaimana untuk melahirkan seorang penyerang hebat dan tulen juga cukup subjektif dengan bakat semula jadi yang dimiliki pemain seperti Super Mokh tidak akan senang-senang muncul dalam diri setiap pemain bergelar penyerang.

Justeru, untuk memastikan skuad negara mampu bersaing di pentas Asia tatkala masih ketandusan penyerang tulen, penulis mencadangkan penyerang naturalisasi diambil mengisi kekosongan posisi tersebut.

Ketepikan soal tidak patriotik sebaliknya cuba lihat dari sudut positif dengan kehadiran penyerang naturalisasi untuk memperbaiki mutu di posisi serangan Harimau Malaya.

Mengambil contoh Jepun ketika kali pertama layak ke Piala Dunia, mereka mempunyai tiga pemain naturalisasi dari Brazil yang mengisi posisi yang kritikal dan ia tidak pelik untuk kita mengambil penyerang mengisi jentera hadapan pasukan negara.

Untuk jangka masa panjang, penulis masih percaya kepada keazaman seseorang pemain dan corak latihan dalam melahirkan seorang penyerang yang berkaliber seperti yang sedang diusahakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sinar Harian Edisi Sukan