Satu daripada lima projek penempatan semula nelayan siap dibina

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya satu daripada lima projek rintis penempatan semula perkampungan nelayan di negara ini yang dimulakan sejak 2014 di Perak siap dibina manakala empat lagi masih dalam pembinaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkampungan nelayan yang telah siap ialah di Teluk Gedung, manakala empat lagi projek yang bermasalah ialah di Teluk Muroh, Kampung Masjid, Kampung Sungai Pinang dan Teluk Kecil.

“Projek ini merangkumi pembangunan semula perkampungan nelayan yang melibatkan pembinaan, ubah suai dan baik pulih rumah di samping infrastruktur asas dan kemudahan awam seperti dewan orang ramai dan gerai.

“Ia dijangka dapat mewujudkan perkampungan nelayan yang lebih teratur, yang memberikan kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti kepada nelayan yang terlibat... bagaimanapun, sehingga hari ini hanya satu projek yang disiapkan iaitu di Telok Gedung.

“Ada cadangan dari Ahli-ahli Yang Berhormat untuk meneruskan skim (projek) penempatan kampung nelayan ini, tetapi bagi pandangan kementerian, elok kita melihat dahulu apakah cabaran yang kita hadapi dalam melengkapkan lima projek awal ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kementeriannya akan berbincang terlebih dahulu dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tentang cadangan untuk memperluaskan projek sebelum membuat sebarang keputusan.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: