X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

'Ayah pesan jaga kasih sayang antara adik-beradik'

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22 selepas solat Zohor. Gambar kecil: Azri Malek
A
A

SHAH ALAM - "Ayah pesan sentiasa jaga hubungan kasih sayang sesama adik-beradik," demikian luahan anak kepada Allahyarham Wan Haron Wan Hassan yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru 1.30 pagi tadi.

Allahyarham merupakan penulis tamu Sinar Harian dan banyak menyumbangkan pelbagai pandangan daripada pelbagai aspek melalui karya-karyanya.

Anak Allahyarham, Azri Malek Wan Haron berkata, ayahnya sempat menitipkan pesanan buat dirinya dan keluarga.

"Ayah pesan kepada kami agar sentiasa jaga hubungan sesama adik-beradik, sentiasa semai dengan kasih sayang.

"Masa sama ayah juga pesan agar sentiasa menjadikan Islam sebagai tunjang utama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini hari ini.

Katanya, Allahyarham seorang yang mudah didekati dan mesra dengan saudara mara dan sahabat handai.

"Allahyarham ayah memang seorang yang disenangi dalam keluarga, bagi anak-anak saudara, beliau dikenali sebagai seorang bapa saudara yang amat mesra.

"Beliau juga mudah mendekati anak-anak dan anak-anak saudaranya dan pandai mengambil hati mereka," katanya.

Allahyarham Wan Haron Wan Hassan, 67, meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi tadi selepas menderita akibat kanser.

Beliau yang juga seorang peguam kanan yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun merupakan penulis tetap di ruangan Bicara Hati sejak setahun lalu.

Allahyarham juga aktif dalam dunia politik dan pernah memegang jawatan sebagai bendahari UMNO Bahagian Kota Bharu sejak tahun 2004 hingga 2008.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertama Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Kota Bharu.

Walaupun sibuk menjalani rawatan di hospital namun Allahyarham masih aktif menulis.

Kali terakhir beliau menulis di kolum Sinar Harian pada penghujung Julai lalu dengan artikel bertajuk ‘Jangan Taksub Pemimpin’.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22 selepas solat Zohor.

Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata.

Saudara mara serta sahabat handai menyiram air pada pusara Allahyarham Wan Haron Wan Hassan di Tanah Perkuburan USJ 22 selepas solat Zohor.
Saudara mara serta sahabat handai menyiram air pada pusara Allahyarham Wan Haron Wan Hassan di Tanah Perkuburan USJ 22 selepas solat Zohor.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kolumnis Sinar Harian meninggal dunia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!