X

Kindly register in order to view this article
!

Presiden Bolivia letak jawatan

Evo Morales
A
A

ANKARA - Presiden Bolivia, Evo Morales meletak jawatan pada Ahad sejurus selepas panglima angkatan tentera negara itu mencadangkan agar beliau berundur, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik ucapan pemimpin itu menerusi televisyen.

"Saya meletak jawatan sebagai presiden," kata Morales.

Dalam ucapannya, beliau menyelar 'sistem kapitalis' dan berikrar akan terus memperjuangkan demokrasi untuk Bolivia.

Morales berkata, beliau membuat keputusan itu agar para pesaing politiknya berhenti mencederakan keluarga dan merosakkan harta benda anggota Parti Gerakan untuk Sosialisme (MAS).

Beliau berkata, gesaan agar beliau meletak jawatan adalah satu rampasan kuasa dan menyelar mereka yang menyasarkan demokrasi serta keamanan sosial di negara itu.

Katanya, beliau akan terus memperjuangkan keamanan dan kesamarataan.

"Perkara ini tidak berakhir di sini," katanya.

Naib Presiden Alvaro, Garcia Linera juga meletak jawatan selepas campur tangan tentera.

Beliau menuduh 'kuasa gelap dan asing' merancang rampasan kuasa itu.

Naib presiden itu, yang kelihatan beremosi semasa ucapannya berkata kerajaan negara tersebut telah menegarakan sumber asli dan meningkatkan taraf hidup berjuta-juta rakyat Bolivia dengan ketara.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di televisyen, Panglima Tentera William Kaliman menggesa Morales meletak jawatan untuk memulihkan keselamatan dalam negara itu.

Terdahulu, Morales menggesa agar pilihan raya baharu diadakan bagi menangani dakwaan bahawa terdapat penyelewengan dalam pengundian.

Bolivia telah terjerumus dalam kancah kekecohan politik susulan pilihan raya presiden pada 20 Oktober yang menyaksikan organisasi pemantau antarabangsa mendakwa telah mengesan penipuan dalam sistem pengundian.

Morales telah meraih 47.8 peratus undi dan memperoleh kemenangan dalam pusingan pertama pengundian.

Carlos Mesa, pemimpin pembangkang utama Parti Kiri Revolusioner berkata, beliau tidak akan mengiktiraf kemenangan Morales dan mendakwa terdapat "penipuan" dalam penjumlahan undi.

Morales telah menjadi presiden sejak 2006. - Bernama