Majlis Presiden PH didesak siasat cubaan singkir MB

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) didesak menyiasat dakwaan cubaan menggugat kestabilan kerajaan PH Perak.

Ketua-ketua Bersatu Bahagian di Perak dalam satu kenyataan bersama hari ini meminta titah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa yang menyentuh spekulasi cubaan sebelum ini untuk menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar Perak perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan tertinggi PH.

Menurut mereka, tindakan tegas wajib diambil ke atas mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pemimpin parti komponen PH di Perak yang bersikap seperti duri dalam daging.

"Biarpun kita meraikan perbezaan pandangan dan pendapat, kepimpinan tertinggi PH perlu mengambil serius perbuatan yang bersikap gunting dalam lipatan sehingga boleh menggugat kestabilan Kerajaan PH Perak.

"Kami menyokong penuh titah Raja Muda bahawa sebarang cubaan menggugat ketidakstabilan pentadbiran kerajaan negeri hingga membawa kepada spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri adalah perkara yang membuang masa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas titah Raja Jaafar yang memuji Ahmad Faizal bersikap tenang serta tidak mudah melatah berdepan pelbagai kritikan.

Sementara itu, mereka berpendapat sewajarnya Ahmad Faizal dan pentadbiran kerajaan negeri diberi ruang untuk memberi perhatian kepada agenda pembangunan negeri dan menggerakkan usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 seperti yang dititahkan Raja Jaafar.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Perak mahu pihak dalam komponen PH negeri berhenti bermain politik dangkal yang tidak tahu membezakan urusan pentadbiran kerajaan dan parti.

Artikel Berkaitan:

Mereka berkata, setiap parti komponen PH di Perak perlu memberi perhatian untuk menyelesaikan masalah dalaman parti masing-masing supaya tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dan sekali gus mengheret menteri besar dalam kemelut dalaman mereka.

"Semua parti komponen perlu sedar hakikat tanpa gabungan kesemua komponen dalam PH dan sokongan dua ADUN Bebas, PH tidak akan mampu membentuk kerajaan negeri.

"Oleh itu, jangan sesekali ada pihak cuba mendabik dada bersikap besar kepala seolah-olah 'abang besar' dalam gabungan ini," katanya.