X

Kindly register in order to view this article
!

Polis buru lelaki tarik kereta

Suspek dirakam melalui kamera milik mangsa.
A
A

NILAI - [DIKEMASKINI] Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) iaitu nama lama bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penolong pegawai teknologi yang menjadi mangsa lelaki terbabit semasa berada di Rehat dan Rawat Seremban arah Utara, Khamis lalu.

Menurutnya, melalui laporan polis, lelaki tersebut menghampiri mangsa bertujuan untuk menarik kereta kononnya mempunyai hutang dengan bank, sebelum mendakwa dirinya sebagai anggota KPDNKK.

"Bagaimanapun, taktik lelaki tersebut tidak berjaya berikutan kereta milik mangsa itu sudah habis dibayar dan tidak mempunyai sebarang hutang.

"Isteri mangsa yang berada dalam kereta kemudiannya merakam wajah suspek dan sebaik disedari dirinya dirakam, lelaki itu terus berlalu pergi," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu dipercayai ada kaitan dengan aktiviti Scam tarik kereta.

Katanya, pihak polis sedang mengesan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Mohd Nor Marzukee turut menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu terutamanya suspek India tersebut yang didakwa kelihatan sebagai seorang yang profesional dalam urusan menarik kereta.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus