Lantik Chin Tong cubaan DAP masuk Parlimen ikut pintu tepi?

Ka Siong bergurau dengan menunjukkan 2 jari sementara Jentera PH menunjukkan 4 jari selepas terserempak di hadapan Terminal Feri Antarabangsa Kukup hari ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A

PONTIAN - MCA mempersoalkan tindakan DAP cuba memasuki 'pintu tepi' Dewan Rakyat dengan menjanjikan pelantikan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai wakil masyarakat Cina di Parlimen Tanjung Piai jika calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini memenangi pilihanraya kecil itu.

Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa, tawaran itu dikemukakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika ceramahnya di Tanjung Piai semalam.

Menurutnya, tawaran berkenaan menunjukkan seolah-olah Karmaine yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak layak menjadi wakil rakyat menjaga kebajikan kaum Cina.

Menurutnya, kenyataan Guan Eng itu diibaratkan menjilat ludah di muka sendiri susulan pemimpin MCA sebelum ini didakwa menggunakan 'pintu belakang' dilantik jawatan senator dan timbalan menteri ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Kalau PH kata calonnya terbaik untuk semua kaum, mengapa tiba-tiba Guan Eng mewakili DAP hendak lantik wakil Cina pula jika mereka menang?

"Bila saya dengar pengumuman Chin Tong dijanjikan untuk dilantik sebagai wakil Cina, dahulu DAP kata tidak lihat perspektif bangsa dan kaum...Tiba-tiba sekarang perlu letak wakil Cina, apa sudah jadi dengan DAP?

"Adakah calon Bersatu tidak layak membantu, tidak mampu atau tidak berkemampuan menjaga kaum Cina?

"Dalam seminggu tempoh kempen, DAP kata enggan main isu perkauman. Kalau itu isyarat dihantar kepada pengundi Cina, saya sedih dan terkilan," katanya pada sidang akhbar di bilik operasi pilihan raya MCA di sini hari ini.

Ka Siong berkata, usaha berterusan PH menaikkan kredibiliti di samping menjaga nama baik Karmaine dalam kalangan pengundi Tanjung Piai kini dirosakkan seorang individu bernama Lim Guan Eng.

"DAP sepatutnya bertanding menggunakan jalan 'pintu besar', bukan menggunakan pintu tepi dan belakang. Bila tawarkan timbalan menteri hendak menjadi wakil Cina di Tanjung Piai, ia seolah-olah masuk pintu 'tepi' Dewan Rakyat yang dikhususkan kepada pegawai ahli parlimen.

"Mereka pun sebelum ini guna pintu belakang untuk membolehkan ahli mereka dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

"Sekarang mengapa DAP tidak ambil jalan pintu besar, bertandinglah sepatutnya menggunakan jalan pintu besar. Kalau dahulu begitu, mengapa hari ini berubah? "katanya.

Guan Eng melalui ceramahnya di Kukup semalam berkata, beliau percaya masalah komunikasi antara penduduk Tanjung Piai berketurunan Cina dengan Karmaine bukan satu masalah jika gabungan politik itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen tersebut 16 November ini.

Menurutnya, Chin Tong akan membantu Karmaine berhubung perkara itu.

“Calon PH orang Melayu dan beliau berdepan pesaing berketurunan Cina (Wee Jeck Seng dari MCA), dan sesetengah penduduk berasa mungkin wujud masalah komunikasi jika mereka mahu meminta bantuan.

“Jadi jika ada apa-apa (keperluan), anda boleh menghubungi Chin Tong dan beliau boleh membantu.

"Chin Tong boleh hubungi saya secara langsung dengan telefon,” katanya berseloroh.