Projek KRC: Pengusaha stesen minyak kecewa tak dapat pampasan

Notis penutupan operasi jualan bahan api yang di premis Han Eng.
Notis penutupan operasi jualan bahan api yang di premis Han Eng.
A
A
A

PADANG TERAP - Seorang pengusaha stesen minyak di Kampung Padang Cenderai di sini kecewa apabila tidak menerima pampasan bagi premis perniagaannya yang terlibat dengan projek Kedah Rubber City (KRC) di kawasan ini.

Liew Han Eng, 44, berkata, dia mula mengusahakan stesen minyak berkenaan sejak tahun 2010 di atas tanah milik Abdul Wahab Mat Isa,77, yang juga pemilik bersama premis berkenaan.

Menurutnya, pada Disember 2016 pihaknya menerima satu surat yang memaklumkan premis perniagaannya terlibat dengan projek KRC dan proses pengambilan tanah akan dilaksanakan.

"Penduduk yang terlibat dipanggil berbincang dan pada Mei 2017 pampasan tanah dibayar kepada tuan tanah tapi bayaran pampasan bagi stesen minyak tidak dapat diputuskan.

"Sehingga November 2017 saya dimaklumkan tidak layak menerima pampasan itu dan alasan yang diberikan adalah saya melanggar status tanah iaitu pertanian," katanya ketika ditemui di stesen minyaknya di sini hari ini.

Katanya, rayuan dibuat ke peringkat kerajaan negeri tetapi ditolak pada 3 Oktober lalu melalui surat yang dihantar.

"Saya kecewa kerana sebelum ini pengusaha salah sebuah stesen minyak di kawasan sini menerima pampasan bagi projek naik taraf jalan walaupun dia juga melanggar status tanah.

"Jika saya menerima pampasan dapat juga saya bayar sedikit sagu hati kepada tujuh pekerja saya sebab mereka bergantung hidup kepada pendapatan di stesen ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang mereka hilang kerja sekelip mata. Sebagai majikan saya bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka," katanya.

Menurutnya, pampasan yang dituntut itu juga bertujuan menampung kerugian yang dihadapinya selepas stesen minyak berkenaan dirobohkan.

Sementara itu, jurucakap pejabat tanah daerah Padang Terap berkata, pengusaha stesen minyak berkenaan didapati melanggar status tanah menyebabkan dia tidak layak menerima pampasan.

"Kita sudah menghantar notis untuk mengosongkan premis sebelum ini dan hari ini kerja-kerja merobohkan bangunan dijalankan,"katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu yang melibatkan beberapa agensi seperti Syarikat Air Darul Aman (Sada), PDRM itu bermula dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang.

Selain stesen minyak terbabit, sebanyak enam rumah turut dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek KRC.